Wednesday, September 24, 2014

Konvoi ke Melaka

Cuti pertengahan tahun sesi persekolahan 2014 yang lalu CM Bikers Club dengan kekuatan 4 orang bikers telah menjayakan satu konvoi dari Batu Gajah ke Melaka. Para bikers kali ini ialah saya sendiri menggunakan jentera Kawasaki VN II 250cc, Hj Nazri CBR 250 R, Azhan Zain Duke 200cc dan Zarul Kawasaki Z800cc. Pertemuan kami untuk TTS sebelum memulakan perjalanan ialah di kedai mamak yang terletak di Kuala Dipang, Gopeng. Menunggu Hj Nazri yang datang dari Malim Nawar dan Azhan dari Kg Gajah. Sesampainya di sana dah melihat Hj Nazri antara yang awal tiba, bagus sungguh komitmen yang diberikan walaupun dia ni bleh dikira pangkat Ayah pada kami.

Tepat jam 9.00 pg lambat sedikit dari perancangan kerana menunggu si Zarul yang datang dari arah Ipoh, kami pun memulakan perjalan. Dari Gopeng kami terus mengikut jalan lama ke Tapah perjalanan secara santai dengan kelajuan antara 90km/j ke 100km/j. Dari Tapah barulah kami memasuki Lebuh Raya Utara Selatan. Perjalanan di teruskan dan point isi minyak yang pertama ialah di RnR Ulu Bernam. Di sini kami lepak dulu sebab badan agak lesu, minum kopi manakala Azhan dan Zarul pekena semangkuk mee kari. Katanya kalau singgah di RnR ni rugi kalau tak kena mee kari yang sedap ni.

 pekena kopi dan mee kari di hentian Ulu Bernam

Possing dulu la...

Perjalanan diteruskan, perjalanan adalah seperti biasa di Highway ni tiada apa-apa yang menarik kerana jalan biasa yang digunakan orang ramai. Cuma yang membezakannya ialah kali ini memecut dengan kenderaan 2 roda pula. Pecutan mesin aku seragam jer 120km/j, sekali sekala Zarul memecut laju kerana dia sorang jer yang menunggang mesin lebih dari 250cc. Kawan-kawan yang lain ni masih guna mesin kuasa rendah jer sebab kebanyakkan antara kami ni masih diperingkat amatur, elokla guna kuasa rendah gitu ..skit-skit upgrade nanti. Kadang kala Hj Nazri dengan CBR memecut juga katanya bleh lari sampai 160km/j. Azhan masih baru sebulan beli motonya, KTM DUKE 200cc. Tapi sesuai dengan badannya dari jauh nampak penuh gaya.

Basah  dan kesejukkan...

Jemur sebentar...

Cabaran hujan lebat kami tempuhi apabila sampai di Dengkil, hujan datang mencurah-curah ditambah lagi dengan jalan yang jem akibat proses pembinaan jalan. Kami berhenti di hentian Dengkil, memerah baju dan glove yang basah. Berehat sebentar di sini sehingga pakaian yang basah tadi menjadi agak lembab. Stokin, jaket semuanya basah, sungguh tidak selesa. Hujan berhenti perjalanan diteruskan dari Dengkil tadi terus menuju Melaka. Akibat dari geseran angin seluar jeans yang tadi basah sudah hampir kering, jaket dah kembali selesa. Walaubagaimanapun ianya tidak lama, apabila sampai di Pedas hujan lebat kembali menyiram bumi. Inilah nasib penunggang walaupun motosikal mahal cam manapun hujan tetap basah.

 Hentian Pedas sekali lagi basah..

Sampai di Melaka lebih kurang jam 1.30 tgh, kami lepak di Hotel Seri Malaysia. Di sini kakitangan awam mendapat diskaun sebanyak 20% tetapi dengan syarat mesti kemukakan bukti sebagai kakitangan awam. Masuk ke bilik tukar pakaian yang basah, mandi dan rehatkan badan sebentar. Selepas itu keluar semula ke Mydin untuk beli stokin haha sebab stokin yg ada basah dan makan tengah hari huhu...

Azhan gembira kerana berjaya sampai ke destinasi

Malamnya aku, Zarul dan Azhan pusing-pusing Bandaraya Melaka, melihat kecantikkan lampu dan gelagat masyarakat di sini serta para pelancong. Penduduk Melaka baik-baik belaka. Singgah di Uptown beli sedikit cenderahati untuk anak-anak di rumah.

Mydin Mall Melaka makan tengah hari dan beli stokin baru

Abang Zarul kite menikmati hidangan

Esoknya bersiap-siap ke Pantai Klebang untuk melihat Muzium Kapal Selam satu-satunya di Malaysia. Muzium kapal selam sangat menarik, rupa-rupanya kapal selam tak ada tingkap langsung. Kelasi kapal selam mengendalikan kapal selam berdasarkan sauna bunyi untuk bergerak ketika di dalam laut. Suasan dalam kapal selam amat sempit, tak tau la macam mana mereka boleh berada dalam kapal selam berbulan-bulan lamanya huh lemas rasanya.

Lobi Hotel Seri Malaysia, memulakan aktiviti malam

Aktiviti malam tadi..

Jalan-jalan

Haripun da petang kami pun terus berangkat untuk pulang, masa balik cuaca agak panas, akibat dari pergerakan sehala jer aku dah mula tersenguk-senguk mengantuk. Huh sungguh bahaya betul, seketika Kawasaki VN II aku mencecah kelajuan 130km/j. Motosikal ni kalu da laju dia terus nak laju jer dah tak bleh nak slow..akibatnya Azhan dgn KTM DUKE jauh ke belakang, katanya tak bleh laju sebab rintangan angin yang kuat. Dari melaka berhenti di Dengkil, kemudian terus ke hentian Rawang. Dari hentian Rawang terus ke hentin Tapah rehat sambil ngeteh di situ. Sampai di rumah ketika hari sudah hampir malam.

Pandangan dari sisi memang besar kapal selam ni...

Ruang tidur

ngetes hidupkan enjin ha ha

 sempit nyer le hai

Bergambar kenangan di belakang kapal selam.


Apa - apa pun memang best ride jauh-jauh ni, letih tapi syokk!!!

Wednesday, September 4, 2013

Jelajah Utara Perak dengan Kawasaki VNII 250cc


Pada 31 Ogos yang lalu kelab CMY Bikers telah menjalankan aktiviti berkonvoi ke Utara Perak. Kekuatan konvoi kali ini ialah lima orang iaitu saya, Rizal, Tn Hj Nazri, Zahrul Hafiz dan Faiezal Azmi. Konvoi ini telah dirancang agak lama namun tiada tarikh yang sesuai sehingga terpaksa merelakan diri untuk korbankan cuti umun hari kemerdekaan bersama anak dan isteri semata untuk berkonvoi. Jadi Konvoi kali ini diberi nama Konvoi Merdeka. Luangkan masa bersama rakan-rakan pun bagus juga dapat mengeratkan hubungan persahabatan. 

Berhenti seketika untuk possing...latar belakang yang 'awesome'

Jalan Parit ke Kuala Kangsar luas dan lengang dari kenderaan lain. 


Konvoi kali ini dikejutkan dengan kehadiran mesin baru Faiezal Azmi iaitu Virago 750cc yang telah diuabahsuai menjadi seakan -akan bobber sportster Harleys Dividson. Bunyinya amat memekikkan seumpama bot pukat tunda dah rasanyer heheh. Rancangan perjalan adalah bermula dari Batu Gajah ke Parit, Dari Parit melalui Sengang ke Kuala Kangsar. Dari Kuala Kangsar konvoi bergerak ke Bukit Gantang. Rancangan pada mulanya hendak makan mee udang yang terkenal di kawasan Kuala Sepetang namun restoran mee udang itu hanya dibuka pada jam 3 petang dan ke atas jadi untuk makan tengah hari kami terus ke Kuala Gula untuk menikmati menu ketam lembut yang famuos di sini. ( Glamour sebab masuk majalah 3 satu ketika dulu ).

Lepak-lepak di hadapan Istana Kuning Bukit Chandan Kuala Kangsar

Sampai di Kuala Kangsar lebih kurang yang 10.20pagi kira-kira sejam perjalanan dari Batu Gajah. Di sini saya nak highlightkan jalan dari Parit ke Kuala Kangsar mengikut Sengang. Sepanjang jalan ini, kita akan menempuh simpang-simpang perkampungan kecil seperti senggang, menora dan beberapa buah kg lagi yang saya sudah lupa namanya. Jalan baru ini sangat luas, kita boleh memecut laju tanpa halangan kerana jumlah kenderaan yang tidak banyak di jalan ini. Di Kuala Kngsar kami singgah sebentar di pekan Kuala Kangsar kerana Tn Hj Nazri hendak membeli sabit. Katanya sabit di sini kualitinya sangat baik. Selepas itu kami berhenti di Istana Kuning cadangnya untuk melawat tetapi hajat terhalang kerana ianya ditutup kepada pelawat. Jadi kami mengambil kesempatan merehatkan enjin motor yang dari tadi panas. 

Berbincang sesuatu di Pekan Kuala Kangsar...

Inilah rupanya Sungai Perak

Perjalanan terus ke Kuala Gula. Kami sampai di Kuala Gula dalam lingkungan jam 1 tengahari. Sesampai di sana kami terus masuk ke Restoran Terapung yang menyediakan menu Ketam Lembut. Keadaan angin di muara Sungai ini sepoi-sepoi bahasa membuatkan badan terasa segar semula setelah berejam di atas motosikal tadi. Kami diberi menu dan didapati senarai menu disediakan  secara pakej. 2 orang makan, 4 orang makan, 6 orang makan dan ini memudahkan pelangan untuk memesan dan merangka budjet untuk memesan makanan di restoran ini. Harga ketam lembut pula adalah mengikut pasaran dalam lingkungan RM6-7 seekor. Masing-masing puas dengan makanan di sini. Masakannya pun sedap, ada yang merancang hendak membawa keluarga makan di sini pula selepas ini. Selesai makan, kami singgah di Masjid di sini untuk menunaikan solah Jamak dan berehat di masjid ini sehingga jam 3 petang.

Restoran Terapung Kuala Gula. Disinila ada menu ketam lembut...

Makanan laut segar yang enak..Tomyam dan Siakap 3 rasa, Udang goreng tepung, fuh terangkat!!

Perjalanan diteruskan ke Kuala Kuarau. Sebuah pekan nelayan yang terletak di Daerah Kerian Perak. Singgah sebentar di tepi muara Sungai Kurau untuk menyaksikan sekumpulan burung-burung helang merah berkepala putih menangkap ikan di permukaan sungai sungguh mengasyikkan. Sahabat-sahabat lain juga tidak pernah sampai disini. Di Kuala Kurau biasanya pelawat akan mencari beberapa perkara iaitu Kari Ikan Sembilang, telur masin dan ikan jeruk yang harganya agak murah jika hendak dibandingkan di tempat-tempat lain.

Pekan Kuala Kurau...

Possing dulu la...

Dibelakang adalah muara Sungai Kurau, Disinilah kita boleh melihat burung helang merah berkepala putih...

Kira-kira jam 4 petang kamu terus bertolak balik. Perjalan balik dirancang melalui Bagan Serai ke Changkat Jering, ke Trong, ke Beruas terus ke Parit dan Batu Gajah. Perjalan balik agak mencabar kerana hujan lebat. Singgah di Parit pada jam 6.30 petang untuk panaskan badan dengan minum teh tarik dan charkoeyteow. Ternyata konvoi kali ini memberikan kepuasan menunggang yang panjang disamping jalan-jalan yang mencabar dan permandangan indah memang menyeronokkan.

Sampai di rumah hampir jam 8 malam, Alhamdulillah perjalanan selamat pergi dan balik..

Ok sampai di sini dulu entry kali ini. Konvoi berikutnya mungkin lebih jauh melangkau keluar dari Perak mungkin. Ada sabahat nak beli Naza Cruise dan XJ6 he he. Jomla kita tunggu bersama perkembangannya. Harap CMY Bikers terus berkembang maju..:-)

Saturday, August 17, 2013

Nak buat apa di Kellie's Castle?

Assalamualaikum dan salamsejahtera,

Hah, nak buat apa di Kellie's Castle? Itulah pertanyaan aku spontan apabila dua orang anak aku ni beria sangat nak ajak pergi melawat Kellie's Castle. Sebab apa aku cakap macam tuh? sebabnya di Kallie's Castle tu sebenarnya tak ada benda yang menarik pun terutama pada anak aku yang sorang umur 8 tahun dan seorang lagi ni umur 6 tahun. Dah 8 tahun aku bermastautin di Batu Gajah nie..tak pernah terpikirpun nak masuk Kellie's castle ni sehingga lah anak aku beria mengajak. 

possing dulu sebelum melangkah masuk...

Sekarang kawasan sekitar Kellie's Castle ini telah dinaik taraf. Rumput-rumput dijaga dengan rapi, kawasannyapun bersih dan indah tidak seperti beberapa tahun dahulu. Ini mungkin kerajaan negeri lebih prihatin dengan kawasan perlancongan di negeri perak ini. 

melihat sesuatu dari arah jendela..

Sebenarnya Kellie's Castle ni biasanya menjadi pentas utama jurufoto-jurufoto perkahwinan untuk shootgambar pengantin, gambar pre-wedding dan kawasan ini juga pernah dijadikan lokasi utama sebuah drama televisyen. Susunan bata-bata merah pada dinding istana yang tidak siap ini menjadi corak yang unik dalam fotografi. Terdapat juga kawasan-kawasan yang gelap dan disinari cahaya metahari menjadikan kawasan-kawasan ini sesuai untuk jurufoto bermain dengan cahaya seperti lowlight dan sebagainya.

kawasan ini disebut serambi berhantu...sebab apa? datang la sini kalau nak tahu

menung ingat dekat mama...

Aktiviti utama aku ialah bawak kamera. Tapi rasanya lens yang sesuai adalah wideangel la kut sebab ruang-ruang di dalam istana yang agak terhad. Walaubagaimanapun aku guna lens 50mm 1.8f sebab kitlens aku rosak. Lens wideangle memang aku takdak la sebab tak ada budget lagi nak beli. Berpeluh jugak la nak setting kamera dan terpaksa juga ikut mood budak-budak dua orang nie.

tempat terakhir sebelum keluar dari istana.

Tak boleh lama-lama dekat sini sebab kawasan ini agak kurang sesuai untuk budak dua orang nie kerana yang pertama, ada sesetengah bahagian yang agak bahaya, anak-anak tangga yang terlalu rapat dan curam serta tiada penghadang agak berisiko dan terjatuh, maklum la anak-anak aku nie aktif semacam. Kedua banyak habuk dan tahi kelawar tak berapa sesuai untuk kesihatan. Yang ketiga ada yang berpendapat kawasan ni keras..ha ha KERAS..budak-budak senang kena sampok....Apa-apa pun datang la melawat ke sini. Mungkin anda ada pendapat lain..:-)

Thursday, April 18, 2013

Berkonvoi ke Lenggong Tapak Warisan Dunia

Pada bulan Disember yang lepas kelab CM bikerz telah berkonvoi ke Lembah Lenggong. Setelah bermesyuarat beberapa kali mencari destinasi yang sesuai untuk berkonvoi akhirnya ahli2 kelab telah memilih    Lenggong sebagai destinasi. Apa istimewanya Lenggong? Lembah Lenggong merupakan tapak arkeologikal di mana wujudnya bukti-bukti penempatan manusia semenjak tempoh Paleolithik telah ditemui. Tapak-tapak arkeologikal penting termasuk Kota Tampan, Bukit Jawa di Kampung Gelok dan Kampung Temelong. Penemuan arkeologikal paling terkenal di Lenggong adalah Orang Perak, rangka peninggalan berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 1990. Peralatan batu berusia 100,000 tahun telah digali dekat Kampung Geluk dan Kampung Temelong.


Artifak yang ada di Kompleks Arkeologi Lenggong..rangka Perak Man

Artifak yang digunakan oleh orang zaman dahulu kala yang ditemui di sini.

Di sana telah telah ditemui bukti bahawa Gua Harimau merupakan tapak penghasilan peralatan gangsa semasa Zaman Gangsa. Terdapat juga Muzium Arkeologikal Lenggong di Kota Tampan di mana artifak yang digali dari kawasan sekitar dipamerkan. Muzium itu terletak dalam lingkungan satu ladang kelapa sawit di jalan dari Kuala Kangsar ke Gerik (atau Grik).


Perkuburan kelihatan replika rangka manusia dan tembikar.

Perjalanan kami bermula pada jam 8.40 pagi, agak lewat dari perancangan awal kerana almaklumla bila dah ramai-ramai tu ada yang lambat bertindak. Konvoi kali ini bukan sahaja menggunakan motosikal malah ada yang menggunakan kereta kerana hendak membawa ahli keluarga sekali.


Konvoi sampai di Anjung Jambatan Raja Muda Nazrin.

bergambar dulu ler...


mamat hensem ni...

Bermula dari Batu Gajah mengikut jalan Chemor, Sungai Siput, Kuala Kangsar terus ke pekan kecil bernama Kati. Di sini kami berehat seketika kerana ada yang masih belum bersarapan. Dahulu, kawasan di Kampung Kati adalah bekas perlombongan bijih timah. Ramai yang datang ke kampung ini untuk melombong bijih timah. Sebelum dijual, hasil bijih timah ditimbang dengan menggunakan alat penimbang yang dipanggil kati. Malah, berat bijih timah juga ditimbang dalam bentuk kati. Akhirnya, penduduk kampung menggelar kampung mereka sebagai Kampung Kati.
Kampung Kati telah dibuka pada 100 tahun yang lalu. Beberapa buah keluarga Melayu dikatakan telah meneroka hutan untuk dijadikan kawasan penempatan di sebelah jalan utama Kuala Kangsar-Lenggong. Mereka menjalankan aktiviti pertanian dan juga berniaga. Selepas peperangan Jepun pada tahun 1943, penduduk kampung telah mendirikan masjid, Sekolah Rendah Melayu dan balai polis. Kini pekan kecil Kati kelihatan mundur kerana jalan sedia ada bukan menjadi jalan utama lagi berikutan jalan baru Kuala Kangsar ke Grik telah siap dibina. 



Seperti biasa kami berhenti dahulu makan di restoran yang terkenal di sini iaitu Restoran Tasik Raban, yang menyediakan pelbagai menu Ikan bakar dan selera kampung termasuk ulam-ulaman. Selepas makan kami berehat sebentar di Masjid Lenggong bagi menunaikan solat Zohor.


Restoran Tasik Raman yang amat terkenal di kawasan ini. Pengunjung boleh menikmati ulam-ulaman dan ikan air tawar yang dibakar. Sangat enak!


Singgah dulu di Masjid Pekan Lenggong untuk solat Zohor...


Perjalan diteruskan lagi ke Lata Kekabu. Hutan Lipur Lata Kekabu terletak dalam Hutan Simpan Bintang Hijau dan mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Bukit. Air terjun yang cantik kira-kira 50 meter tinggi dan sungai yang bersih mengalir di kawasan ini. Kawasan ini sesuai dikunjungi untuk bersiar-siar, berehat dan berkelah pada hujung minggu. Kemudahan tapak khemah, dewan serba guna, surau serta bilik mandi disediakan untuk kemudahan pengunjung yang ingin tinggal lebih lama atau untuk menjalankan berbagai bentuk aktiviti pendidikan, rekreasi dan riadah.



Makan dulu he he berkelah di Lata Kekabu...


Sesuai untuk anak - anak kecil bermain sungai sebab sungainya cetek...

Setelah berehat sambail menikmati juadah yang disediakan oleh ahli Kelab, kamipun bertolak balik ke Batu Gajah. Perjalan pulang agak mencabar kerana hujan turun selebat-lebatnya. Aku sampai ke rumah lebih kurang pukul 7 malam. Ok bye ini saja cerita buat kali ini. sampai jumpa lagi...:-)


Ha ha aku pun nak masuk jugak...:-)



Friday, December 28, 2012

Berkonvoi ke Kolam Air Panas Sungai Kelah, Sungkai

Pada hari Khamis 20 Disember 2012, Aku, Rizal dan Cikgu Nazri telah berkonvoi ke Kolam Air Panas Sungai   Klah, yang terletak di Sungkai. Konvoi kali ini saja-saja makan angin jer nak layan moto Cikgu Nazri jenis Panter yang baru dibaikinya yang menelan belanja hampir RM800. Almaklumla moto retro la katakan. Pada mulanya kami merancang untuk ke Manjung, tapi aku mengubah cadangan dengan berkonvoi ke Sungkai sebab ke Manjung dah selalu sangat. Boring pun ada gak, lagi satu tak boleh nak layan moto di highway. He he.

Ini kawasan Taman Herba Gopeng, singgah pekena nasi lemak dulu..



Rizal dan Cikgu Nazeri...Cikgu Nazeri dah umur 55 thn, tapi masih steady...

Perjalanan kami bermula tepat jam 8.30 pagi. Sebelum itu kami bersarapan dulu di kedai makan yang terletak berhampiran dengan Taman Herba, Jalan Gopeng. Untuk makluman Taman Herba di buka untuk kunjugan setiap hari, di sini kita boleh melihat pelbagai jenis tumbuhan herba. Taman Herba ini menjadi salah satu sumber perlancongan di kawasan ini selain Kelly Castle. Kami tinggalkan Taman Herba dan terus ke stesyen petrol di Jalan Gopeng. Isi minyak penuh-penuh dan terus menuju ke tempat yang ditujui.

Moto isi minyak, Rizal buang minyak ehh air..


Halaju maksimum kami lebih kurang 100KMJ sahaja adakala mencecah 110KMJ tetapi di jalan-jalan yang lurus dan jauh dari bandar sahaja. Kuda besi Cikgu Nazeri tak boleh memecut laju-laju kerana baru dibaiki enjin dan perlu berpantang dulu, tapi ada kalanya memecut juga buat tak endah, mungkin dah tak tahan agaknya.

Perjalanan kami waktu pagi dalam keadaan cuaca yang amat baik, sepanjang perjalanan kira tenang sahaja, kami meredah jalan lama ke Sungkai, sebelum sampai ke Sungkai terdapat beberapa pekan kecil yang kami tempuhi, dari Batu Gajah kami melalui Gopeng, selepas itu terus ke Kampar, dari Kampar terus ke Tapah dan akhirnya barulah bertemu Sungkai. Permandangan sangat indah jalan-jalan lama di bawah sinar matahari terbit terasa sungguh segar, memang mengasyikkan. Betul seperti perpatah melayu "jauh perjalan luas permandangan...". Memang satu pengalaman yang indah. Kami sampai di kawasan yang setelah hampir 2 jam perjalanan.

baru parking, Rizal dengan jaguh customnyer...

possing dulu...hilangkan lenguh-lenguh tu...

Kolam Air Panas ini terletak di bawah jagaan Felda Sungkai. Bayaran masuk untuk dewasa RM12, Kanak-kanak RM7 dan warga tua juga RM7 manakala OKU RM3. Keadaan infrastrukturnya sangat baik, suasana persekitaran terjaga dengan baik, mempunyai kolam renang yang sangat luas, tetapi disebabkan air yang suam jadi orang yang berkunjung hanya beredam sahaja. Suhu di kolam ini aku lihat mencecah 130 darjah F. Terdapat juga kolam-kolam yang lebih panas, pelawat merebus telur namun telur mestilah dibeli di tempat ini tidak boleh di bawa dari rumah. Makanan juga tidak boleh dibawa masuk, mungkin untuk menjaga perniagaan di dalam kawasan ini. Walau bagaimanapun harga makanan di dalam kawasan ini tidak lah mahal, harganya boleh dikatakan agak berpatutan. Selain dari kolam air panas terdapat juga kolam biasa yang luas untuk orang ramai bermandi-manda. Setelah penat berendam selama 40minit, kami menjamah pisang goreng yang dijual di kawasan ini, boleh tahan juga mungkin sebab lapar pulak kut. Kemudian bersihkan badan dan bersedia untuk pulang.

jalan masuk yang baik, suasana yang bersih dan nyaman..

tempat air panas

dalam kolam yang besar tu airnya bersuhu 130 darjah F, dalam tempayan kecil air biasa sejukk ooo..

ini tempat untuk sewa jacuzzi, kolam kecil untuk seisi keluarga, agak private skit sebab orang lain tak bleh masuk kite dan family kite jer..sewa satu jam RM75.

tandas dan bilik mandi sungguh selesa yang biru untuk lelaki dan pink untuk perempuan


Kami membuat keputusan untuk pulang melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Yang pertama sebab nak memecut di sini, yang kedua nak singgah di hentian rehat Tapah untuk solat Zohor dan makan tengah hari, Cikgu Nazri keluar ikut Kampar manakala aku dengan Rizal terus memecut keluar ikut Gopeng dan terus ke Batu Gajah. Kami sampai ke rumah dalam pukul 4 petang. Tujuan balik awal tu sebab nak elak dari kena hujan. he he..

Setakat ini halaju maksimun moto kawasaki VN yang aku buat ialah 120KMJ itupun tak lama dalam beberapa minit jer sebab angin terjah dari depan sangat kuat menyebabkan rasa macam nak terbang plak, aku bercadang nak letak cermin pengadang angin tapi tunggu la dah servey harga dalam RM170 kut tak ingat plak. Untuk motosikal jenis cruiser, semasa laju lebih sedap kalau punggung enjak sedikit ke belakang dan kedua-dua peha memeluk rapat tangki minyak, memang sedap masa memecut. Kita akan rasa lebih yakin.

possing dulu..


Ok ini saja cerita konvoi kali ini, nanti cerita lagi..bye.;-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...